Wednesday, May 12, 2010

Manual Tanaman Pisang


KEPERLUAN ASAS TANAMAN

Iklim
Tanaman pisang sesuai diusahakan di kawasan bersuhu antara 12-32Âșc dengan taburan hujan antara 1000-3000mm

Tanah
Pisang boleh ditanam di pelbagai jenis tanah. Tanah yang paling sesuai ialah sederhana gembur, dengan saliran yang baik. pH tanah antara 5.5-8.0.

Amalan kultur

Penyediaan kawasan
Kawasan yang dibuka bagi penanaman pisang perlu dibersihkan, dibajak piring dan bajak putar sebelum ditanam. Pembarisan dan menggali lubang dlakukan selepas penyediaan tanah.

Bahan tanaman
Menggunakan anak benih tisu kultur bagi menjamin kualiti buah. Benih pisang ini dibiak secara in vitro di antara induk terpilih dan secara pengeluaran yang begitu terkawal menghasilkan anak-anak benih bebas penyakit dan patogen. Pertumbuhan benih didapati seragam dan pengeluaran hasil lebih awal dibandingkan dengan benih sulur.

Sistem tanaman
Sistem tanaman empat segi sama, empat segi tepat dan tiga segi digunakan. Untuk sistem tanaman tunggal, jarak tanaman yang sesuai ialah 3m x 3m dengan kepadatan 1,100. pada jarak 2.5m x 2.5m kepadatan mencapai 1,600 pokok sehektar. Bagi sistem tanaman selingan, jarak tanaman yang sesuai adalah 3m x 3m dengan kepadatan 700-900 pokok/ha.

Kaedah penanaman
Lubang berukuran 0.3m x 0.3m x 0.3m digali dan diisi dengan campuran 100gm baja fosfat (CIRP), 100gm kapur (GML), 100gm baja organik dan 25gm Carbofuran sebelum benih pisang ditanam.

Pembajaan
Berikut adalah kadar pembajaan yang disyorkan bagi pisang berangan dan cavendish.

Bulan selepas menanam Jenis baja Kadar pembajaan (g/pokok)
Semasa tanam CIRP 100
Baja Organik 60
GML 60
Carbofuran 25
1 15:15:15 100
2 15:15:15 150
3 15:15:15 150
4 15:15:15 150
5 15:15:15 150
6 12:12:17:2 75
MOP 75
9 12:12:17:2 250
12 15:15:15 250
13 GML 1000
15 15:15:15 200
18 15:15:15 250
21 15:15:15 300
MOP 100
24 15:15:15 400
CIRP : Christmas Island Rock Phosphate
MOP : Muriate of Potash
GML : Ground Magnesium Limestone

Pengurusan air

Pokok pisang memerlukan air sebanyak 8-12 liter sehari. Biasanya pisang tidak dibekalkan dengan pengairan tetapi ia mendapat bekalan air daripada simpanan dalam tanah atau dari air hujan.

Pemangkasan sulur
Tujuan adalah untuk menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam pemakanan. Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan satu pokok induk dan satu sulur diperingkat pokok berumur 4 bulan bagi pisang berangan. Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas pada umur 9 bulan bagi pisang berangan. Cara pemangkasan yang mudah ialah dengan menggunakan pisau tajam untuk memotong sulur pada aras tanah.

Cantasan pelepah
Pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal penanaman.

Pembungkusan tandan pisang
Pembungkusan dapat mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong. Pembungkusan juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa penuaian, pengumpulan dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan. Tandan pisang boleh dibungkus dengan sarung plastik polietilena berwarna atau kertas perang. Pembungkusan boleh dilakukan diperingkat akhir pembentukan sisir akhir tandan buah. Sebelum pembungkusan, jantung perlu dipotong terlebih dahulu. Tandan buah dibungkus dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas. Pembungkusan buah dapat menjamin mutu buah yang tinggi.

No comments:

Post a Comment